Sunday, January 2, 2011

LAMBANG JATA NEGARA MALAYSIA

Pengenalan

Jata Negara Malaysia merupakan lambang rasmi Kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri terkandung dalam Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Persekutuan. Bintang dan anak bulan melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris menandakan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu). Bahagian sebelah kiri perisai dengan simbol pokok pinang melambangkan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan simbol pokok Melaka melambangkan Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri itu adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat pada masa tersebut.

Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna. Empat jalur yang sama besarnya di bahagian tengah perisai, warna hitam dan putih ialah warna Negeri Pahang; merah dan kuning warna Negeri Selangor; hitam, putih dan kuning warna Negeri Perak; merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga bahagian di sebelah bawah menandakan negeri Sabah di sebelah kiri, Sarawak di sebelah kanan dan di tengahnya ialah Bunga Raya – Bunga Kebangsaan. Dua ekor harimau ditunjukkan sebagai penopang jata Negeri-Negeri Melayu Bersekutu itu di pakai dalam Lambang Malaysia. Cogan – Bersekutu Bertambah Mutu – ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan ialah warna Diraja Yang Maha Mulia Raja-Raja.

1 comment:

  1. Info menarik. Saya ada sedikit tambahan info. Harimau dalam jata negara tu di gelar Harimau Malaya. Harimau Malaya ini juga dikenali sebagai Harimau Belang iaitu spesies yang hanya ada di Semenanjung Malaysia. Iaitu Panthera Tigris Malayeins atau Panthera Tigris Jacksoni

    ReplyDelete