Wednesday, January 5, 2011

Imbasan Malaysia 2004


IMBASAN MALAYSIA 2004


Menjelang terbitnya fajar tahun 2004, marilah sama-sama kita berazam untuk menjadi manusia yang lebih berilmu, lebih berpengetahuan, lebih berkemahiran dan lebih berwibawa. Marilah kita sama-sama melangkah ke tahun baru dengan tekad untuk bekerja tekun, bersungguh, komited dan ikhlas demi masa hadapan Negara yang lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang .

Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia (Petikan Perutusan Tahun Baru 2004)





Tirai tahun 2004 dibuka dengan penuh kesyukuran apabila Malaysia terus melakar sejarah dunia dari segi kestabilan politik dan perpaduan kaum.Kesinambungan kecemerlangan Malaysia di bawah kepimpinan Y.A.B. Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi memancarkan sinar baru negara untuk menjadi suatu Masyarakat Hadhari yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Perubahan pucuk pimpinan Parti Barisan Nasional dan pertambahan 28 Kementerian-kementerian bagi mewujudkan Kerajaan yang lebih efisien, meningkatkan kecekapan pemerintahan, mesra rakyat dan mengurangkan kerenah birokrasi dan lebih berintegriti.



Peristiwa luar negara dengan kemusnahan Bam, pada 26 Disember 2003, begitu menyentuh hati rakyat Malaysia apabila menyaksikan kemusnahan Bam, Iran. Berpuluh ribu penduduk di Bam, Iran masih meratapi kehilangan ahli keluarga dan sanak saudara yang terkorban dalam kejadian gempa bumi yang turut melenyapkan kota bersejarah itu dari PETA Iran. Peristiwa tersebut meningkatkan lagi semangat kecintaan rakyat kepada Negara Bangsa Malaysia yang merupakan negara yang aman, harmoni dan terbaik di dunia. Penutup tirai tahun 2004 juga diakhiri dengan kesedaran dan keinsafan rakyat Malaysia apabila kejadian gempa bumi yang berlaku di Acheh mengakibatkan Tsunami atau Ombak Besar yang melanda negara-negara jiran termasuk Malaysia. Malapetaka bencana tsunami semestinya memilukan bagi mereka yang mengalami sendiri pengalaman pahit itu.



Perkhidmatan Awam Cemerlang Budaya Prestasi Dunia



Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada Majlis Perdana Kelima Perkhidmatan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 9 Januari 2004, telah menggariskan lima inisiatif tambahan bagi menjadikan Perkhidmatan Awam Negara bertaraf dunia serta mampu menghadapi cabaran global yang perlu dijalankan secara berterusan iaitu Perubahan minda dan sikap; Etika yang luhur; Pembangunan tenaga manusia; Budaya kerja berasaskan prestasi; dan Daya kepimpinan yang kukuh dan semasa. Pelbagai inisiatif dan usaha Kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan meneliti semula, memperkukuhkan syarat dan peraturan kerja sedia ada, mengurangkan kerenah birokrasi, meningkatkan profesionalisme, responsif dan akauntabiliti, membangunkan portal myGoverment di http:/www.gov.my, sistem e-Treasury, e-SPKB, e-Perolehan, mewujudkan pasukan petugas bagi mengurangkan kerenah birokrasi, penambahbaikan perkhidmatan kaunter, memperkemaskan prosedur lesen dan permit, menyediakan kemudahan hand-holding kepada pelabur, melancarkan Strategi Baru Urusan Pentadbiran Tanah pada 2 Mac 2004, e-Tanah, Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan, Pelan Integriti Nasional (PIN), Pengukuran Prestasi dan sebagainya.





Menyemarakkan Budaya Berprestasi – KPIs



Kerajaan telah melancarkan program Indeks Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPIs) dan Ganjaran Berasaskan Prestasi atau Performance Linked Compensation (PLC) untuk organisasi sektor awam yang telah bermula pada Ogos 2004. KPIs menggabungkan elemen Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dan piawaian MS ISO 9000. 6 Agensi perintis iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Perbandaran Melaka Bandar Raya Bersejarah, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Balai Polis Shah Alam, dan Hospital Kota Baharu. Pelaksanaan sepenuhnya dijangka pada awal 2005.





Dasar Koperasi Negara (DKN)



DKN telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 29 Januari 2004. Dasar ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap potensi gerakan koperasi di negara ini dan sesungguhnya kerajaan amat komited dalam menyediakan prasarana yang dapat membantu memudahkan pelaksanaannya.





Kempen Anti Merokok



Kempen Anti-Merokok Peringkat Kebangsaan telah dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 9 Februari 2004. Slogan kempen tersebut ialah ‘Tak Nak! Setiap Sedutan Membawa Padah.’ Objektif kempen ini adalah untuk mewujudkan sebuah negara tanpa perokok. Kempen ini juga memaparkan isu-isu mengenai bahaya merokok kepada rakyat di seluruh negara serta tumpuan terhadap hasil penyelidikan yang perlu diketahui orang ramai.





Kod Etika Ahli Parlimen




Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah melancarkan kod Etika bagi Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 19 April 2004. Kod etika ini membolehkan Ahli Parlimen mengotakan sumpah yang telah dilafazkan dan membantu Ahli Parlimen melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap Parlimen, penduduk bahagian yang diwakilinya dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.



Pelan Integriti Nasional (PIN)


Kerajaan telah melancarkan PIN pada 23 April 2004. PIN merupakan pelan tindakan untuk mempertingkatkan Integriti Nasional melalui pendekatan komprehensif dan bersepadu. Pelan disasarkan terutamanya untuk mengurangkan rasuah, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti serta memantapkan kecekapan di segenap lapisan masyarakat. Sebagai jentera untuk melaksanakan PIN, Kerajaan telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan peruntukan sebanyak RM 6 juta ringgit. IIM sedang melaksanakan siri program pendidikan dan kesedaran PIN melalui Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan yang ditubuhkan di semua agensi Kerajaan.



Pilihan Raya Umum ke-11

Pilihan Raya kali ini, merupakan Pilihan Raya yang pertama bagi Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi berlangsung pada 21 Mac 2004. Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-11, membuktikan sokongan padu rakyat kepada pemerintahan Kerajaan BN yang diterajui oleh Perdana Menteri. BN mencatatkan kejayaan paling gemilang dalam sejarah Pilihan Raya negara ini apabila memenangi 198 buah kerusi daripada 219. Malah kerusi Parlimen dan pada masa yang sama menguasai 452 daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara. Negeri Terengganu berjaya kembali dirampas oleh BN daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).




Kabinet Rakyat Untuk Rakyat


Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mengumumkan Barisan Kabinet baru pada 27 Mac 2004 di Putrajaya. Ianya menyaksikan perubahan besar-besaran melibatkan muka baru dan penyusunan semula beberapa kementerian dan menjadi 28 kementerian diwujudkan ke arah mencapai matlamat Kerajaan yang menyokong rakyat demi mencapai cita-cita Wawasan 2020 dan menjadi Negara yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.


Jalinan Diplomatik Malaysia Memanfaatkan Negara


Di bawah pimpinan Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, jalinan diplomatik Malaysia dengan negara-negara luar khususnya ASEAN telah memberi manfaat kepada kepentingan negara terutama dalam aspek kestabilan politik serantau dan antarabangsa.




Kuala Lumpur – Washington



Pertemuan dua hala di antara Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badaw dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush pada 20 Julai 2004 di Pejabat Oval, White House telah mendapat reaksi positif daripada Bush yang menyatakan komitmen Washington bagi menyelesaikan isu Palestin dan Iraq. Sebagai Pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Islam (OIC), Malaysia berjaya untuk mendesak AS bagi membina kefahaman lebih baik dengan masyarakat Islam dalam menangani ancaman keganasan antarabangsa.


Kuala Lumpur – Perancis


Pertemuan Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dengan Presiden Perancis, Jacques Chirac pada 22 Julai 2004, telah berjaya mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dengan negara yang mempunyai kuasa Veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kedua-dua negara telah mencapai persetujuan untuk meneroka bidang baru seperti bioteknologi, pendidikan dan pelancongan dalam usaha meluaskan hubungan dua hala.



Kuala Lumpur – Britain


Lawatan Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ke London pada 23 Julai 2004, adalah bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik Malaysia — Britain dan bertemu rakan sejawatannya, Tony Blair di No. 10 Downing Street.



Kuala Lumpur – Singapura


Dalam aspek serantau, lawatan Y.A.B. Perdana Menteri baru Singapura, Lee Hsien Loong bertemu Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 5 Oktober 2004 telah membuka catatan baru sejarah hubungan Malaysia-Singapura. Kedua-dua negara berikrar akan menyelesaikan segala kekusutan dan memastikan hubungan dua hala tersebut akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak.



Majlis Kecergasan Kebangsaan (MKK)


MKK ditubuhkan dengan kerjasama empat agensi iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Penubuhan MKK sebagai satu badan perunding, penyelaras, pengawal dan penasihat kepada pembangunan kecergasan agar menepati dan menyokong matlamat Dasar Sukan Negara dan Wawasan 2020. Majlis Kecergasan Kebangsaan telah dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 12 September 2004, di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan tema, Ke Arah Malaysia Cergas, Sihat dan Bersatu.



Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM)


Kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya ini bagi mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi menjadikan PDRM sebagai sebuah pasukan penguat kuasa undang-undang yang berwibawa dan dihormati. Suruhanjaya ini bertanggungjawab mengkaji perjalanan kerja serta mengemukakan cadangan-cadangan bagi meningkatkan keupayaan serta mutu anggota. Penubuhan Suruhanjaya ini akan menjadikan PDRM sebuah pasukan polis yang dipercayai oleh masyarakat dan ia adalah berbeza dengan Suruhanjaya Pasukan Polis sedia ada.




Perlindungan Harta Intelek


Harta intelek di Malaysia terdiri daripada paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta. Malaysia memberi perlindungan harta intelek yang mencukupi kepada pelabur tempatan dan asing. Malaysia adalah ahli World Intellectual Property Organisation dan menjadi signatori kepada dua konvensyen di bawah badan dunia tersebut iaitu Konvensyen Paris (untuk Perlindungan Harta Industri — paten, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian) dan Konvensyen Berne (untuk Perlindungan Hak Cipta). Malaysia juga menjadi signatori kepada perjanjian Trade-Related Aspects of Intellectual Property Rights (TRIPS), sebuah perjanjian di bawah naungan World Trade Organization (WTO).




Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Program PLKN Siri1/2004 telah dilaksanakan dalam 3 kumpulan dan jumlah keseluruhan peserta yang telah dilatih ialah seramai 70,208 pelatih. Kumpulan 1 bermula pada 16 Februari hingga 2 Mei 2004, melibatkan seramai 25,884 pelatih yang berdaftar daripada 28,334 pelatih yang wajib melaporkan diri. Kumpulan 2 pula bermula pada 22 Mac hingga 3 Jun 2004, melibatkan seramai 21,227 pelatih yang berdaftar daripada 28,333 pelatih yang wajib melaporkan diri. Kumpulan 3 bermula pada 22 Mac hingga 13 Jun 2004, melibatkan seramai 20,531 pelatih yang berdaftar daripada 28,333 pelatih yang wajib melaporkan diri. Bilangan Pelatih PLKN Siri 2/2005 bermula pada 13 Disember 2004 hingga 6 Mac 2005, melibatkan seramai 24,969 yang berdaftar daripada 28,334 yang wajib melaporkan diri.




Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam (DLSMSA)


DLSMSA yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) yang berkuat kuasa mulai Januari 2005, merupakan suatu penambahbaikan Pekeliling Perkhidmatan (PP) Bil. 6 Tahun 1984, berkaitan keperluan Kementerian/Jabatan untuk menyediakan pelan latihan yang khusus dan terancang ke arah meningkatkan kompetensi pegawai/kakitangan serta kewajipan kursus/latihan sekurang-kurangnya tujuh (7) hari dalam satu tahun. Kerajaan telah meluluskan 1 peratus daripada peruntukan emolumen khusus bagi tujuan tersebut.




Prestasi Ekonomi Mencapai Paras Tertinggi

Tahun 2004 merupakan tahun yang menggalakkan bagi kebanyakan sektor ekonomi di Malaysia kerana dipacu oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan prestasi sektor korporat yang membanggakan iaitu 8 peratus berbanding 7.6 peratus mencapai paras tertinggi sejak tahun 1998. Kegiatan ekonomi domestik dan persekitaran luar yang kukuh serta menggalakkan adalah faktor utama menjana pertumbuhan ekonomi di sektor pembuatan, perkhidmatan dan sumbangan perbelanjaan swasta. Hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan oleh kerajaan terutama penjanaan sumber baru pertumbuhan seperti sektor pembuatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kewangan, pertanian (keluaran buah-buahan, akuakultur dan ternakan) dan aktiviti pelancongan. Dengan bilangan penduduk dianggarkan seramai 26.1 juta pendapatan per kapita pada harga semasa meningkat kepada RM16,693 daripada RM16,098 pada tahun 2004. Dari segi pariti kuasa beli, ia dianggarkan berjumlah AS$10,560 berbanding AS$10,163 pada tahun 2003.

MSC Penjana Utama Pertumbuhan Ekonomi

Kerajaan memberi perhatian kepada pembangunan sektor ICT serta Projek Koridor Raya Multimedia (MSC). Syarikat-syarikat berstatus MSC adalah layak menikmati insentif dan faedah yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia di bawah Bill of Guarantess. Insentif cukai yang diberikan kepada syarikat MSC juga diberi kepada Fakulti Multimedia di luar MSC. Fakulti Multimedia ditakrif sebagai pusat pembelajaran yang menyediakan kursus dalam bidang media, komputer, teknologi maklumat, telekomunikasi dan perisian berkaitan data, suara, grafik dan imej.

MSC akan menumpukan kepada bidang-bidang yang dikenal pasti menjadi kekuatannya terutama pendidikan, kesihatan, bioteknologi serta meningkatkan tenaga manusia dalam bidang ICT. ICT mampu menjana pertumbuhan negara dan berkembang serta berjaya mewujudkan sejumlah 18,900 pekerjaan membabitkan bidang berkemahiran tinggi. MSC juga berupaya menjana hasil berasaskan perisian bernilai RM6.5 bilion, paten (151), industri reka bentuk (41), jenama perdagangan (188), saintis (590) dan melahirkan 40,000 graduan ICT tempatan setiap tahun. Panel Penasihat Antarabangsa MSC yang bermesyuarat pada 2-3 September 2004, telah mengiktiraf prestasi MSC yang telah memasuki fasa pembangunan ke-2 (2004-2010). Fasa ini akan memberi tumpuan di beberapa kawasan yang dikenal pasti seperti di Pulau Pinang dan Taman Teknologi Tinggi, Kulim, Kedah.

Kadar Baru Duti Import dan Eksais Kenderaan Bermotor

Kerajaan telah mengumumkan pada 1 Januari 2004, bahawa duti import bagi kereta-kereta penumpang unit komponen terurai untuk dipasang (CKD) yang diimport dari negara-negara ASEAN kepada 25 peratus. Sementara kereta-kereta penumpang unit komponen dipasang sepenuhnya (CBU) dari ASEAN, duti importnya diturunkan kepada kadar antara 70 hingga 190 peratus mengikut kapasiti enjin. Unit-unit (CBU) negara-negara bukan ASEAN diturunkan kepada kadar 80 hingga 200 peratus mengikut kapasiti enjin. Duti eksais ke atas kedua-dua (CKD) dan (CBU).


Industri Pemotoran Negara

Perusahaan Automobil Nasional Bhd. (PROTON) melancarkan kereta model baru, GEN.2 dengan kapasiti enjin Campro 1.6 liter yang dimajukan bersama dengan pereka kereta sport, Lotus. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Y.A.B. Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan Y.A.B Dato Sri Mohd. Najib Tun Razak pada awal tahun 2004. Kilang Proton terbaru di Tanjung Malim juga telah menggunakan teknologi moden terkini khusus bagi pengeluaran kereta Gen.2 yang berkualiti dan mengikut standard antarabangsa.


Bidang Penerbangan

Bilangan penumpang Syarikat Penerbangan Malaysia meningkat tinggi sebanyak 17 peratus berbanding paras negatif 10.1 peratus yang dicatat pada tempoh sama tahun 2003 hasil pertambahan ketibaan pelancong. Syarikat tambang murah pertama negara, AirAsia Bhd. mencatat sejarah tersendiri apabila tawaran awam permulaan (IPO) syarikat berkenaan mengumpulkan hasil kasar sebanyak RM717.4 juta dan mencatat pertumbuhan penumpang yang mengagumkan dengan kadar 74.8 peratus atau 1.9 juta penumpang pada tujuh bulan pertama tahun 2004, menembusi pasaran serantau di Indonesia, Thailand, Brunei dan Macau. Syarikat ini juga memeterai perjanjian tempahan 40 buah pesawat Airbus bernilai lebih RM9.5billion pada 17 Disember 2004 dan menjadikan tempahan itu terbesar dan terbanyak pernah diterima oleh syarikat Airbus.


Pembaharuan Kewangan Malaysia 2004

Wang polimer atau wang plastik bernilai RM5 mencatat sejarah kerana ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan baru diperkenalkan di pasaran tempatan negara ini.


Pengendalian Kargo Udara dan Laut

Pertumbuhan jumlah kendalian kontena kekal kukuh dengan pelabuhan utama mencatat pertumbuhan 17.5 peratus kepada 5.6 juta TEU pada separuh tahun 2004. Ia didorong oleh peningkatan produktiviti, pertambahan trafik tempatan dan transshipment, pergerakan kontena global, perkhidmatan tambahan dan persinggahan kapal khususnya di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang.


Meningkatkan Kecekapan Pengangkutan Awam

Kerajaan telah mengambil banyak langkah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam bagi mengurangkan kos perniagaan, kesesakan lalu-lintas, kesesakan trafik dan sebagainya. Jawatankuasa Pemandu Integrasi dan Penyusunan Sistem Pengangkutan Awam Lembah Klang (INSPAK) ditubuhkan bagi meningkatkan akses sistem pengangkutan yang lebih komprehensif dan efisien. Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB)bertanggungjawab membina dan membiayai infrastruktur dan kemudahan awam seperti Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sd.n Bhd. (RAPID KL). Manakala, INSPAK akan menerajui pengawal selia pengangkutan awam serta menubuhkan Lembaga Pengangkutan Awam Lembah Klang.

Syarikat-syarikat Terbaik Malaysia

Terdapat 17 buah syarikat telah disenaraikan dalam Edisi 2000 Syarikat Terulung Dunia 2004 Forbes kerana menunjukkan kecemerlangan dalam tahun 2004. Syarikat-syarikat berkenaan adalah Malayan Banking Bhd., Public Bank, Commerce Aset Holding (Bumiputera-Commerce Bank), Hong Leong Credit, RHB Bank, AMMB Holdings, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Malaysia International Shipping Corporation, Sime Darby, Maxis Communication, Perodua, Petronas Gas, EON, Genting, dan Kumpulan YTL.

Peningkatan Harga Minyak Mentah dan Petrol
Peningkatan harga minyak mentah kepada RM181.57 se tong menyebabkan Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol, diesel dan gas sebanyak lima sen seliter atau sekilogram (kg) dan berkuat kuasa pada 1 Oktober 2004.


Kenaikan Harga Keluli
Kenaikan ini tidak dapat dielakkan berikutan berlakunya kenaikan harga keluli di pasaran antarabangsa. Harga scrap iron yang merupakan bahan mentah untuk mengeluarkan billet, mrsb dan htdb telah meningkat di pasaran dunia daripada RM680/USD180 satu tan metrik kepada RM988/USD260 satu tan metrik dalam bulan Januari 2004.

Mengembalikan Kegemilangan Sektor Pertanian

Malaysia adalah pengeluar utama dunia bagi komoditi pertanian seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada hitam. Sebagai langkah Kerajaan ingin transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih dinamik Kerajaan telah memperuntukkan bajet sebanyak RM1.5 bilion ringgit untuk menggalakkan pertanian secara komersial, berkualiti tinggi dan memenuhi piawaian antarabangsa. Langkah-langkah Kerajaan memberi tumpuan kepada kaedah aplikasi teknologi moden, penemuan R&D, bioteknologi, menjadikan negara pusat pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran hasil pertanian ke pasaran global, menjadikan Universiti Putra Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan pertanian serta menggalakkan syarikat swasta mengkomersialkan sektor pertanian.

Prospek Bioteknologi di Malaysia


Bidang Bioteknologi dijangka akan menjadi industri yang sangat penting dalam menjana lebihan pendapatan ekonomi Negara. Dasar Bioteknologi Negara akan dilancarkan pada awal tahun 2005 untuk memberi penekanan terhadap tiga bidang utama iaitu Pertanian, Penjagaan Kesihatan dan Perindustrian. Kerajaan telah melancarkan Projek Lembah Bio (Biovalley Project) di Dengkil, Selangor bertujuan untuk menggerakkan lebih banyak kegiatan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang bioteknologi tempatan di pasaran tempatan dan antarabangsa. Projek Lembah Bio di kawasan seluas 200 hektar itu melibatkan penubuhan tiga Institut Kebangsaan teras iaitu Institut Bioteknologi Pertanian, Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal serta Institut Genomik dan Biologi Molekul.



Prospek Malaysia Menjadi Hab Makanan Halal Cerah


Industri Makanan Halal dilihat sebagai pasaran yang luas untuk diteroka dan dimajukan di mana kerajaan telah mengenal pasti Industri Makanan Halal sebagai sumber baru aktiviti ekonomi. Pasaran global untuk makanan halal dianggap menguntungkan dengan anggaran sebanyak RM1,330 hingga RM1,520 bilion setahun berdasarkan populasi penduduk Islam sedunia mencecah 1.8 bilion. Malaysia berpeluang untuk menubuhkan sebuah Pusat Makanan Halal Antarabangsa (IHFC) yang berperanan bukan sahaja sebagai pengeluar makanan halal sedunia bahkan pusat pemasaran, persijilan dan rujukan. Dengan pasaran domestik bernilai lebih RM5 bilion dan nilai pasaran makanan halal sedunia yang besar, ia adalah peluang baik kepada Malaysia untuk meneroka pasaran itu.

Hala Tuju Dasar Kerajaan yang penting bagi pembangunan Industri Makanan Halal di Malaysia telah melalui pelbagai strategi dan langkah dalam Pelan Induk Perindustrian Kedua (IMP2), Pelan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDP) 2001-2005 serta Dasar Pertanian Negara Ketiga (NAP3) 1998-2010. Baget 2005 memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk Dana Khas Pembangunan dan Promosi Produk Halal.



Persijilan: Logo Halal JAKIM


Bagi mengukuhkan lagi pembangunan Industri Makanan Halal, pada 10 Julai 2004, Kerajaan telah mewartakan Standard Malaysia MS1500, Garis Panduan Asas bagi Pengeluaran, Penyediaan, Pengawalan dan Penyimpanan Makanan Halal . Syarat penting di bawah garis panduan ini ialah keperluan untuk mematuhi Good Manufacturing Practices (GMP) dan Good Hygiene Practices (GHP). Piawaian baru ini akan mengukuhkan lagi keunggulan kedudukan persijilan halal JAKIM yang merupakan logo halal yang paling banyak dikenali di seluruh dunia.



Prestasi Sosial Negara Menguji Ketahanan Jati Diri Rakyat

Aspek pembangunan sosial, jati diri, patriotisme dan integrasi kaum sepanjang tahun 2004, mengukuhkan lagi jati diri rakyat Malaysia untuk terus memajukan diri. Pelbagai program besar, aktiviti dan isu terpaksa ditangani oleh rakyat atau Kerajaan.


Kadar Inflasi di Malaysia Kekal Rendah


Inflasi di Negara ini terus kekal rendah berbanding anggaran negara-negara ASEAN yang lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand yang mencatat kadar antara dua peratus dan lima peratus. Bagi tujuh bulan pertama tahun 2004, inflasi kekal stabil pada kadar 1.1 peratus sama seperti yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun 2003.


Basmi Kemiskinan-Malaysia Paling Berjaya

Malaysia merupakan negara paling berjaya dalam mengekal keharmonian dan mengurangkan kemiskinan. Paras kemiskinan adalah pada tahap 5.1 peratus, melibatkan 267,000 isi rumah dengan kemiskinan luar bandar adalah lebih tinggi iaitu 11.4 peratus manakala, 2 peratus daripada bandar hidup di bawah garis kemiskinan. Sejumlah 12,600 isi rumah bandar adalah miskin tegar dengan pendapatan kurang daripada RM260 sebulan, iaitu separuh daripada pendapatan garis kemiskinan, (PLI). Di Semenanjung Malaysia, PLI adalah RM529 bagi setiap isi rumah, Sabah RM690 dan Sarawak RM600.


Kerajaan Capai Kejayaan Besar dalam Pendidikan

Kejayaan Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan tahun 2001-2010, ternyata menjamin rakyat mendapat peluang pendidikan selama 12 tahun dari aspek akses, ekuiti dan kualiti. Bagi tempoh tahun 2001-2004, kemudahan Prasekolah telah meningkat kepada 3,180 daripada 1,131 kelas. 234 buah Sekolah Rendah baru telah dibina. Sekolah Menengah meningkat kepada 1,961 daripada 1,723. Bilangan guru sekolah rendah meningkat kepada 179,600 berbanding 160,300 sementara bagi Sekolah Menengah meningkat kepada 130,400 daripada 118,300. Sejumlah RM2,265.8 juta telah diagihkan bagi memanfaatkan sejumlah 8.19 juta pelajar. Kerajaan juga berusaha mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar dengan melancarkan pelbagai program ICT, antaranya, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Projek Pengkomputeran, Rangkaian SchoolNet dan Sekolah Bestari, Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan One-Off RM120, Skim Baucar Tuisyen, Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) dan program biasiswa.


J-QAF


Istilah J-QAF adalah singkatan kepada Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain. Projek J-QAF adalah projek pengukuhan Pendidikan Islam yang tercetus daripada ilham dan hasrat Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi supaya pelajar-pelajar Islam di negara ini khatam bacaan Al-Quran di peringkat Sekolah Rendah serta mewajibkan pembelajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah. Pelaksanaan projek rintis telah dijalankan di 30 buah sekolah di seluruh negara selama tiga bulan atau 12 minggu pengajaran dan pembelajaran mulai April hingga Julai 2004.


Ancaman Penyakit Avian Influenza (Selesema Burung)

Wabak Avian Influenza atau Selesema Burung telah menular di beberapa negara seperti Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Pakistan dan Laos yang telah menjangkiti dan membunuh berjuta-juta ternakan ayam. Sebagai langkah drastik, melalui Kementerian Pertanian, Kerajaan telah mengumumkan Larangan Import Daging Ayam dari Negara Thailand pada 23 Januari 2004. Wabak selesema burung pertama di negara ini dikesan di Kampung Pasir Pekan, Pasir Mas pada 17 Ogos 2004. Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) telah menguatkuasakan perintah kuarantin membabitkan seluruh Kelantan bagi membendung wabak selesema burung jenis Avian Influenza H5 daripada merebak ke negeri lain. Langkah drastik Kerajaan di bawah Ordinan Binatang 1953, berjaya menyekat virus terbabit daripada merebak.


Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan (TKKK)

Tabung ini ditubuhkan oleh Kerajaan untuk membantu membiayai sepenuhnya atau sebahagian kos rawatan pesakit miskin. Tabung ini diwujudkan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 12 April 2000 di bawah Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208). Ia ditadbir oleh Amanah Raya Berhad mengikut acara-acara yang dipersetujui dalam Surat Ikatan Amanah yang telah dimeterai pada 23 Februari 2001. Fungsi utama Lembaga Amanah Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan (TKKK) ialah untuk menimbang dan meluluskan permohonan daripada pesakit-pesakit kronik.


Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Y.A.B. Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah melancarkan SSPN di PWTC pada 6 Ogos 2004. SSPN adalah merupakan suatu instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada ibu bapa bagi membantu menyelesaikan masalah dan kesulitan kewangan apabila anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan swasta tempatan. Kerajaan telah memperuntukkan geran berjumlah RM 300 juta untuk digunakan sebagai modal permulaan pelaburan.


Tanah Runtuh di Gua Tempurung

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kilometer 302, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), berhampiran dengan Gua Tempurung pada 10 Oktober 2004 mengulangi kejadian yang berlaku pada 6 Januari 1996 di Kilometer 303.8 lebuh raya yang sama (1.8 kilometer daripada jarak kejadian) menyebabkan seorang penunggang motosikal patah kaki kanan.


Program Pengampunan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Kerajaan Malaysia telah melaksanakan Program Pengampunan PATI bermula pada 29 Oktober hingga 31 Disember 2004 bagi membolehkan seramai 1.2 juta PATI pulang ke negara masing-masing tanpa dikenakan sebarang tindakan. Kerajaan juga berjanji akan memberi keutamaan untuk mengambil mereka semula di Malaysia jika masuk secara sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Seramai 331,134 orang PATI telah pulang secara sukarela di bawah pengampunan 2004. Daripada jumlah tersebut, seramai 289,735 warga Indonesia, 14,859 warga India, 6,722 warga Bangladesh, 2,704 warga Nepal,dan 17,114 lain-lain negara.


Pemakaian Batik

Kakitangan awam dan anggota pentadbiran negara kecuali badan beruniform diwajibkan memakai pakaian batik setiap Hari Sabtu bermula pada 1 November 2004 sebagai langkah Kerajaan mengembalikan kegemilangan Batik Malaysia di persada tempatan dan antarabangsa.


Tragedi Kemalangan Negeri

Hari-hari terakhir 2004, mencatatkan tragedi ngeri oleh rakyat negara ini. Ini kerana berlaku banjir besar di Kelantan yang mengorbankan 11 nyawa dan menyebabkan 10,000 orang dipindahkan serta memusnahkan harta benda dan infrastruktur berjumlah berjuta-juta ringgit. Berlaku 8 kemalangan membabitkan pesawat udara dengan menyaksikan 21 nyawa hilang dan peningkatan kemalangan jalan raya walaupun Kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk membendung masalah seperti itu berlaku.


Tragedi Ombak Besar ‘Tsunami’

Tirai 2004 Malaysia ditutup dengan penuh kesedihan apabila berlaku malapetaka 26 Disember 2004 iaitu bencana ombak besar tsunami yang melanda negara-negara Asia terutamanya penduduk di Acheh, Sri Lanka, India, Maldives, Thailand dan Malaysia. Tragedi itu berpunca dari gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter di barat Sumatera dan disifatkan paling dahsyat di dunia dalam tempoh 40 tahun. Gempa bumi yang berlaku di bawah dasar laut dengan gegaran yang dapat dirasai beribu-ribu kilometer jauhnya menyebabkan ombak besar berlaku pada paras kelajuan 700 kilometer sejam menyapu bersih bangunan, rumah-rumah dan sebagainya serta telah mengorbankan lebih 127,502 ribu nyawa termasuk 68 orang di Malaysia.


Kemusnahan di Malaysia

Kawasan persisiran pantai Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis terjejas teruk akibat ombak tsunami . Di Pulau Pinang kawasan persisiran pantai yang terlibat ialah pantai Miami, Tanjong Tokong di Batu Feringghi, Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong, Teluk Bahang, Balik Pulau dan Pantai Kuala Bekah. Di Negeri Kedah, kawasan yang dilanda teruk tsunami ialah Kota Kuala Muda dan perkampungan nelayan di Pulau Langkawi. Di Perak, kawasan sekitar Tanjung Piandang dan Kuala Sanglang di Perlis turut terjejas. Manakala, di Selangor hanya seorang menjadi korban mangsa tsunami .


Bantuan Kemanusiaan

Pelbagai pihak mengambil inisiatif dengan menghulurkan bantuan kemanusiaan. Keprihatinan kerajaan, badan korporat, NGO seperti Persatuan Bulan Sabit Malaysia, Mercy Malaysia, Yayasan Salam, Pemuda UMNO, Muslim Aid Asia, Persatuan Belia Malaysia dan juga rakyat berganding bahu menghulurkan bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung mangsa-mangsa tsunami terutama di Malaysia, Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka dan Maldives.


Sumbangan Luar Negara untuk Mangsa ‘Tsunami’ di Malaysia

Penerbangan Khas yang membawa bantuan dari Kerajaan Morocco akan tiba di Lapangan Terbang Subang pada 2 Januari 2005. Kerajaan Republik Rakyat Demokratik Korea telah memaklumkan hasrat untuk memberi sumbangan kewangan sebanyak USD 20,000 (RM76,000) kepada Malaysia.


Tabung-Tabung Bantuan Kemanusiaan ‘Tsunami’

Pihak Kerajaan, media massa dan badan-badan tertentu di Malaysia mengambil tindakan drastik dan inisiatif menubuhkan tabung-tabung bantuan untuk mangsa-mangsa tsunami seperti:-


Tabung Kemanusiaan Acheh

anjuran Utusan Malaysia;

Tabung Kemanusiaan ‘Tsunami’ Asia anjuran Berita Harian, Harian Metro, TV3, 8TV dan Wisma Putra;

Tabung Mangsa ‘Tsunami’ Malaysia
anjuran New Straits Times, Berita Harian, TV3 dan 8TV;

The Star Earthquake/Tsunami Relief Fund anjuran The Star dan Mercy Malaysia;

The Sun Tsunami Emergency Supplies Fund anjuran The Sun;
Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI)
BAKTI mengutip derma dalam bentuk wang dan barang-barang keperluan untuk mangsa-mangsa tsunami khususnya di Acheh dan Sri Lanka;

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
yang turut sama menghantar bantuan dalam bentuk bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan kepada mangsa.

Tabung Bencana Kemanusiaan ‘Tsunami’ Asia – Kementerian Luar Negeri
Kerajaan telah menubuhkan tabung khas ini untuk membolehkan Kerajaan dan rakyat Malaysia memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa bencana kejadian tsunami di negara-negara yang terlibat termasuk Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka dan Maldives. Sehingga 31 Disember 2004, sejumlah RM5,073,200.00 telah diterima oleh Kementerian untuk Tabung Bencana Asia.


Pasukan Bantuan Kecemasan Malaysia ke Acheh

Pesawat TUDM C130 akan belepas pada 2 Januari 2005 ke Indonesia bagi urusan menghantar barang-barang dan bekalan makanan untuk petugas-petugas Malaysia yang sedang menjalankan operasi menyelamat di Acheh, Indonesia.


Sistem Amaran Bencana
Kajian turut dilaksanakan untuk mewujudkan Sistem Amaran Bencana di Malaysia sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga. Ini kerana selepas 26 Disember sebanyak 2,500 gegaran susulan dikesan.


Malaysia Boleh!

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dipilih sebagai gabenor bank pusat terbaik dunia oleh The Banker, sebuah majalah kewangan terkemuka terbitan Financial Times of London pada 9 Januari 2004. Pemilihan itu berdasarkan kejayaan beliau menerajui usaha pembentukan industri kewangan Islam dan menjadikan Malaysia negara terkemuka dalam industri kewangan.

• Sepasukan tiga saintis wanita Universiti Malaysia (USM) telah berjaya menjalani misi ke Antartika iaitu Dr. Rashidah Abdul Rahim, 30; Dr. Latiffah Zakaria, 35; dan Faradina Merican Mohd Sidek Merican, 23, (kesemua mereka dari Kajian Biologikal Sains) selamat kembali ke tanah air pada 21 Februari 2004 pada jam 11 malam selepas ekspedisi enam minggu dalam misi meneroka khazanah ilmu.

Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin dan Ahmad Reduan Rozali telah berjaya menyertai cabaran ekspedisi Demi Negara ke Everest berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia pada 16 Mei 2004.

Sembilan Rekod Kebangsaan diperbaharui di SUKMA X 2004, Negeri Sembilan.


Renang

• Chua Lai Kwan (Sabah) — 50m kuak lentang wanita, 31.28s;

Cindy Ong (Perak) — 100m gaya bebas wanita, 58.17s;
Claudia Leow, Chui Lai Kwan, Marellyn Liew, Leung Chii Lin (Sabah) 4X100m wanita, 4:01.69s;
Cindy Ong (Perak) — 50m kuak dada wanita, 34.86s;
100m kuak kupu-kupuwanita, 1:02.98s;
50m gaya bebas wanita, 26:53s;
50m kuak kupu-kupu wanita, 28.58s
Olahraga
  • Ngew Sin Mei (Kuala Lumpur) — lompat kijang wanita, 13.51ms
  • Vally Michael (Melaka) — 3000m lari berhalangan wanita, 1:43:76s
  • Ramli Isnin dipilih sebagai Peladang Jaya (Lelaki) dan Robitah Zainuddin sebagai Peladang Muda Jaya (Wanita) sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2004 pada 5 Oktober 2004.
  • Pasangan kembar Suhana dan Suhaila Md Zaini dianugerahkan sijil dan plak oleh Istana Buckingham, United Kingdom berikutan kejayaan mereka dalam pelbagai kegiatan Rakan Muda dan kemasyarakatan pada 7 Oktober 2004.
  • S. Moganasundar, pemuda 22 tahun dari Gunung Rapat, Ipoh telah mencipta rekod sebagai atlet pertama berlari secara mengundur sejauh 30 kilometer tanpa henti di Stadium Perak, bermula dari jam 4.40 petang hingga jam 8.10 malam pada 24 Oktober 2004.
  • Penerjun Muda Negara, Bryan Nickson Lomas telah memenangi pingat emas dalam acara papan anjal peringkat usia 13 hingga 15 tahun di Kejohanan Remaja Dunia di Belem, Brazil pada 31 Oktober 2004.
  • Jaguh Bina Badan Negara, Sazali Samad ditabalkan sebagai Mr. Universe pada Kejohanan Bina Badan Dunia ke-58 di Moscow.
  • Pasukan Bola Sepak Perlis muncul sebagai juara kejohanan bola sepak Piala Malaysia 2004 selepas 83 tahun penantian dan berjaya menewaskan pasukan Kedah dengan jaringan gol 1-0 pada perlawanan akhir pada 4 Disember 2004 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
  • Puteri Gimnas Negara, Durratun Nashihin Rosli dan Pemain Badminton Negara, Wong Choong Hann menggondol wang tunai RM5,000 serta trofi selepas muncul sebagai Olahragawati dan Olahragawan Kuala Lumpur 2003 di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur pada 14 Disember 2004.
  • Dua juruterbang tempatan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassa dan Mejar Halim Othman berjaya mengelilingi rantau ini dengan hanya menggunakan pesawat ringan, Kailan 1.
  • Nur Malena Hassan telah mencipta rekod baru dunia dengan tinggal selama 32 hari bersama lebih 6,069 ekor kala jengking.
  • Datin Paduka Syarifah Mazlina Syed Abdul Kadir, 39 tahun seorang Pensyarah Psikologi Sukan, Fakulti Rekreasi Universiti Teknologi Mara berjaya menjadi wanita pertama Malaysia dan Asia memulakan ekspedisi solo merentasi Antartika dari 8 hingga 29 Disember 2004 (22 hari) mengharungi cabaran membabitkan perjalanan sejauh 1,100 kilometer menggunakan ski-sailing iaitu meluncur menggunakan layar tanpa batang kayu atau logam.

No comments: