Tuesday, January 4, 2011

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi Malaysia



Pengenalan


Bahasa Rasmi yang digunakan di negara ini ialah Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia). Namun, bahasa-bahasa berbagai kaum dan suku kaum yang lain adalah bebas digunakan seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua dan digunakan dengan meluas.


Latar Belakang

Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa Bahasa Melayu yang dikenali sebagai Bahasa Malaysia adalah Bahasa Rasmi yang tidak boleh dipertikaikan fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran juga telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).
Namun, pada masa yang sama bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia, bebas digunakan seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Selain itu bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara. Kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa-bahasa antarabangsa yang lain khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa.

Makna Bahasa Melayu

Bahasa adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seseorang individu dengan individu yang lain). Bahasa Kebangsaan adalah bahasa yang diterima dan digunakan ramai oleh penduduk dalam sesebuah negara yang mempunyai beberapa bahasa atau loghat yang lain. Melayu adalah nama suatu bangsa dan bahasa (terutama di Semenanjung Malaysia). Oleh itu, Bahasa Melayu adalah bahasa perantara yang dijadikan Bahasa Rasmi bagi Malaysia.

No comments:

Post a Comment