Monday, January 3, 2011

BENDERA MALAYSIA

Jalur Gemilang

Pengenalan


Bendera Malaysia (Jalur Gemilang) mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah menandakan keanggotaan dalam 13 buah negeri Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Terengganu, Perlis, Selangor, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Kerajaan Persekutuan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan). Bintang pecah 14 juga adalah sebagai tanda perpaduan bagi 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan . Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima bermakna perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua yang mengandungi anak bulan menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Warna Kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.


Sejarah Bendera Malaysia

Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan Peringkat Kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera. Reka bentuk ciptaan En. Mohamad bin Hamzah (Arkitek Kerajaan di Johor) dipilih sebagai pemenang. Reka bentuk tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:


"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."


Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963. Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang.


Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia Ke-4, pada malam 31 Ogos 1997, sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-40, di Dataran Merdeka telah memberikan nama baru kepada Bendera Malaysia iaitu JALUR GEMILANG




No comments:

Post a Comment