Monday, January 3, 2011

LAGU KEBANGSAAN MALAYSIA


Pengenalan


Lagu Kebangsaan digubal pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1903–1990), Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Pertama (31 Ogos 1957 hingga 21 September 1970), dengan irama "Negaraku" dipetik dari irama lagi Negeri Perak iaitu "Terang Bulan". Negaraku menekankan taat setia rakyat pada negara dan perpaduan rakyat untuk kemajuan negara. Ia berperanan untuk membangkitkan semangat patriotik dan cinta akan tanah air.





*Gambar: Upacara Menaikkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu Kali Pertama pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George V1


Negaraku

Tanah Tumpahnya Darah Ku
Rakyat Hidup Bersatu dan Maju
Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan
Raja Kita Selamat Bertakhta
(Maestoso)




Sejarah Lagu Negaraku

Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul apabila negara hampir mencapai kemerdekaan. Lagu rasmi kebangsaan ini perlu diperdengarkan di upacara pengisytiharan kemerdekaan yang ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Lantaran itu, pada bulan Februari 1957, satu pertandingan mencipta lagu rasmi kebangsaan telah diadakan. Hasilnya sebanyak 514 penyertaan telah diterima dari dalam dan juga luar negara.

Setelah dibuat tapisan, sebanyak empat buah lagu iaitu ciptaan Benjamin Britten, Sir William Walton, Carlo Manetti dan Zubir Said telah di senarai pendekkan daripada 514 penyertaan yang diterima. Bagi memilih lagu kebangsaan, satu Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) telah dibentuk yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Keempat-empat lagu tersebut diperdengarkan semula dan dimainkan oleh Pancaragam Polis Diraja di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957. Walaubagaimanapun, JKPLK tidak bersetuju dengan keempat-empat lagu tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebaliknya mengesyorkan lagu ‘Terang Bulan’ sebagai Lagu Kebangsaan Negaraku. Cadangan itu telah dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain.

Lagu Terang Bulan merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles. Baginda selalu mendengar lagu tersebut yang dimainkan oleh Pasukan Pancaragam Perancis bagi menghiburkan anggota tentera dan orang ramai. Lagu tersebut juga mat disukai dan menjadi siulan penduduk-penduduk di pulau itu.

Lagu Terang Bulan juga telah mencuit hati Raja Chulan. Ketika Raja Chulan melawat Raja Abdullah di Pulau Seycelles, baginda amat tertarik dengan lagu ini lalu baginda mempelajari dan memainkan lagu tersebut dengan biola. Apabila Mansor, yang kemudiannya mengesyorkannya kepada Sultan Idris, Sultan Perak pada ketika itu, supaya menjadikan lagu Terang Bulan sebagai lagu Kebangsaan negeri Perak. Pada tahun 1888, buat pertama kalinya lagu Terang Bulan telah dimainkan sebagai lagu rasmi negeri Perak di istana Buckingham, england, semasa lawatan Sultan Idris Murshiduládzam Shah ke London, sempena pertabalan Queen Victoria. Bermula daripada itulah, lagu Terang Bulan menjadi Lagu Kebangsaan Negeri Perak dan pada tahun 1957, lagu ini telah dijadikan asas sebagai lagu Kebangsaan Negaraku.


Notasi muzik lagu Negaraku telah disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dikson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya). Seni kata lagu Kebangsaan Negaraku telah disediakan oleh satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Sultan-sultan Tanah Melayu.

Lagu Kebangsaan Negaraku diperdengarkan buat pertama kalinya pada malam 31 Ogos 1957, di upacara menaikkan bendera Persekutuan Tanah melayu pada malam 31 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Pada malam tersebut, bendera Union Jack telah diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan tanah Melayu, diiringi dengan lagu Kebangsaan negaraku. Bermula dari detik inilah, lagu Negaraku terus kekal menjadi lagu rasmi Negara.

No comments:

Post a Comment